Review: Erti Cinta ~ Camellia

 Penulis: Camellia 
Penerbit: Karya Seni 
Cetakan: Kedua – Januari 2012 
ISBN: 978-967-0246-11-6 
Harga: rm 19 
Helaian: 484 m/s 

‘Mana saya punya cinta?’ 



Baca KU 
ERTI CINTA, sebuah novel yang mengungkapkan bahawa betapa cinta itu membawa pelbagai erti kepada kita. Kisah bermula apabila dua orang sahabat baik, Anis dan Maria yang masih lagi belajar berpindah dari kediaman yang sediakan pihak kolej. 

Alasannya, mereka mengimpikan sebuah rumah dalam erti kata sebenar yang tentu sahaja aman, tenang dan mendamaikan. Berlawanan dengan kediaman kolej yang disediakan, terpaksa tinggal bersesak-sesak seperti tin sardin. Oleh kerana itu, mereka membuat keputusan untuk berpindah kesebuah rumah di tingkat 7, blok C, flat Sri Mastura. Selain dekat dengan kolej mereka, sewanya juga murah. 

Namun, lain yang dicari, lain pula yang ditemui. Mereka sering diganggu dengan bunyi serta kejadian aneh terutama selepas pukul 12 tengah malam. Joe, anak kepada pemilik cafe di bawah blok B cuba mententeramkan mereka dengan mengatakan bahawa itu adalah gangguan dari budak nakal. 

Sebenarnya Joe tidak mahu gangguan tersebut membuatkan mereka berpindah dari situ. Ada sebab mengapa Joe tidak mahu mereka terutamanya Anis berpindah. Ada rahsia yang Joe sorokkan dari pengetahuan mereka. 

Selain itu, perkenalan Anis dengan seorang jejaka bernama Danny juga membantutkan niat mereka untuk berpindah. Kenapa? Kerana Anis sudah terjatuh sayang kepada Danny sejak hari pertama mereka berpindah. Manakala Maria pula meminati Joe walaupun dia cuba menafikannya. Tambahan pula Joe sering memerhati Anis yang sudah tentunya membuatkan Maria cemburu. Ada sebab mengapa Joe bersikap begitu. 

Apakah rahsia yang disorokkan Joe dari pengetahuan mereka? Dapatkah Anis dan Danny si jejaka misteri bersatu? Apakah pula rahsia disebalik bunyian dan gangguan yang dialami Maria dan Anis sejak mereka berpindah ke situ? Dalam mencari erti cinta dalam suasana seram siapa yang berjaya? 



Rasa KU 
Dalam novel EC, penulis cuba menyampaikan erti/makna cinta yang pelbagai kepada pembaca seperti novel KDC karya Izza Aripin yang juga mengungkapkan apa itu cinta. Namun, apa yang membezakan EC ialah ianya disampaikan melalui genre seram. Dan ianya memang menjadi... berjaya membuatkan pembaca iaitu AA sendiri merasa seram. 

Ada yang hidup dalam tekanan dan kemurungan kerana kehilangan cinta. Ada juga yang sanggup berusaha dan berhabisan duit bagi mendapatkan cinta. Tidak kurang juga yang sekadar menunggu cinta sejatinya menyuting diri. Malah lebih teruk lagi, ada yang sanggup membunuh hanya kerana cinta. Begitulah erti cinta yang cuba digambarkan Camelia dalam novel ERTI CINTA. Apa yang disampaikan dalam ER boleh dijadikan panduan dan pengajaran dalam mencari erti cinta. 

Menyelami ERTI CINTA juga, membuat kita memikirkan apakah erti cinta kepada diri kita sendiri. Apa pun erti cinta kepada setiap individu, yang pasti cinta itu menuntut kepercayaan dan keikhlasan. 

Keseluruhannya, AA memang berpuas hati dengan novel ERTI CINTA. Tak rugi baca terutamanya bagi penggemar genre seram. Kadang2 rasa macam tak baca novel cinta pun. Thrill habis... tambah2 bila baca tengah malam. Naik bulu roma...Tahniah buat Camellia dengan penyampaian novel cinta yang luar daripada kebiasaan novel cinta yang terdapat di pasaran pada masa kini. 

Bagi AA, pengajaran tersirat yang boleh diambil dari novel ini ialah kita perlulah berhati-hati sebelum menyewa atau membeli rumah. Selidik betul-betul... perasaan curiga tu kadang-kadang perlu. Terutamanya apabila sewa/harga rumah yang ditawarkan sangat murah daripada yang sepatutnya. Mesti ada something yang tak kene dengan rumah tu. 



Suka KU 
Emm... Cerita ni agak seram jadi tak banyak yang AA dapat sempat nak catat atau tanda apa yang AA suka dalam novel EC ni. 

m/s 113 
“ Aku setuju. Nanti aku tanyakan pada dia. Kalau alasan dia munasabah, aku akan terima. Semua tindakan pasti ada sebab.” Anis termenung lagi. Tanpa diduga, terlintas di fikirannya kata-kata Oprah, ‘I trust that everything happens for a reasons, even when we’re not wise enough to see it.’ 

m/s 109 
‘With lies you may get ahead in the world – but you can never go back.’ Pepatah dari Rusia yang pernah dibacanya tidak lama dulu kini terngiang-ngiang di telinganya. Sambil merenung cahaya di ibu kota yang nampak berkelipan bagai bintang yang turun ke bumi, fikirannya masih tepu dengan pelbagai soalan. 

m/s 144 
Danny pula yang tersenyum sambil merenung wajah Anis yang menunduk malu. “Aku Cuma mahu kau tahu, yang engkau bukan keseorangan dalam dunia ini, Anis. Walau betapa sukarnya sesuatu keadaan itu, engkau tetap ada tempat di dunia ini. Janganlah bersedih. Reda dan sabar menghadapi dugaan yang datang kerana segelap-gelap malam, apabila siang tetap ada cerahnya. Begitulah kehidupan. Dan rasa percaya itu adalah nyawa kepada harapan dalam diri kita. Apabila ia terpadam, terpadam juga segalanya.” 


~ NovelLikeAMysteryBox
~ afinarif


Sinopsis Kulit Buku 
ANIS SARINA hanya mahukan sebuah tempat tinggal yang aman. Dia bersama sahabat baiknya, Maria berpindah meninggalkan kediaman kolejnya untuk tinggal di sebuah rumah sewa di tingkat 7, sebuah flat. 

Namun ketenangan yang diharapkan tidak kesampaian. Pertemuannya dengan pemuda yang bernama Danny dan Joe membuatkan hidupnya tunggang langgang. Hatinya terpaut kepada Danny pada pandangan yang pertama namun Joe terus menghantui setiap langkahnya. 

"Dia handsome lah…cair hati aku." 

"Handsome macam mana pun, bukan mata kau seorang aje yang nampak tau. Berduyun lagi girls dalam Kuala Lumpur ni yang nampak. Jangan hati kau cair masuk longkang, sudahlah." 

"Hish! Cair masuk longkang katanya. Tak kisahlah tu. Yang pentingnya, tak pernah hati aku cair begitu cepat macam tu. Inilah first time aku rasa, aku jatuh cinta pandang pertama.” Dia menyembamkan muka ke tilam, malu pula mengaku begitu. Nasib baik dengan Maria, kalau dengan orang lain…mana nak letak muka? 

"Lain kali jangan nak pakai kawan aje kalau tak pasti. Entah-entah budak datang hisap dadah kat flat ni," bebel Joe lagi. Wajahnya makin garang. 

Darah Anis menyirap. "Danny lelaki baiklah, kalau kau tak kenal, janganlah kau tuduh-tuduh pulak. Macamlah kau tu baik sangat." 

Joe menggeleng. "Sudahlah, dah nak senja. Naiklah cepat." 

"Eh! Joe, kenapa kau suka suruh kami naik bila senja ha? Kau tak ada kerja ke selain jaga kami?" Anis makin menyinga. Maria terlopong. 

Joe mengangkat bahu. "Aku tak paksa. Kalau kau nak berkhemah di tangga ni pun boleh." Joe berpaling dan melangkah balik ke kafenya dengan muka yang merah padam. 

Anis tergamam, hanya matanya saja merenung setiap langkah Joe. Kalau boleh hendak ditolak-tolak biar lelaki tu jatuh tersembam. Pandai-pandai tuduh Danny budak dadah. Heee… hatinya membentak. 


Namun siapakah sebenarnya Danny yang penuh misteri itu? Mampukah Anis menerima hakikat yang sebenarnya? Kenapa Joe sentiasa memerhatikan Anis? Sanggupkah Maria berkorban dan mengalah? Semuanya akan terjawab di dalam novel ini. Empat erti cinta yang mesti diselesaikan…. Siapakah yang akan bahagia?

Review: Datang Pada Waktunya ~ Maria Kajiwa


Penulis: Maria Kajiwa
Penerbit: Fajar Pakeer
Cetakan: 1 - 2012
ISBN: 978-967-365-121-4
Harga: rm20
Helaian: 476 m/s

‘Tiada yang lebih indah daripada apa yang ada antara kita...’



Baca KU

DATANG PADA WAKTUNYA, sebuah kisah sumpahan yang bukan sahaja menguraikan apa itu erti kesetiaan, pengkhianatan malah juga erti keberanian yang sebenar.

Kisah bermula apabila Edri telah ditugaskan untuk membuat rundingan dengan penduduk Kg Durian Lima berkaitan pembinaan jambatan yang akan menghubung 2 buah kampung yang dipisahkan oleh Sungai Pahang. Projek pembinaan jambatan ini telah tertangguh selama 45 tahun lalu yang mana perancangannya telah dibuat sejak dari tahun 1960an lagi. Ramai pegawai telah dihantar ke sana namun semuanya didapati hilang tanpa meninggalkan jejak. Yang kembali hanyalah fail biru yang mengandungi dokumen projek pembinaan jambatan yang telah dirancang. 

Pada mulanya Edri berat hati untuk menerima tugas itu, namun dia membulatkan tekad apabila mengenangkan jawatannya dalam syarikat menjadi taruhan. Bagi melaksanakan tugas itu, Edri telah mengajak Adam, rakan serumahnya bagi menemaninya ke sana. Kebetulan datuk Adam berasal dari kampung sekitar dan dia tahu selok belok jalan untuk ke sana. Pelbagai kejadian aneh yang ditempuhi Edri dan Adam sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kg Durian Lima. 

Selepas memasuki simpang ke Kg Durian Lima, kereta yang dipandu Adam mengalami kerosakan dan ditinggalkan di tepi jalan. Mereka mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja. Di situ mereka berkenalan dengan dua orang gadis kampung, Saleha dan Murni yang menunjukkan jalan kepada mereka untuk ke Kampung Durian Lima.

Apakah misteri disebalik projek pembinaan jambatan yang tebengkalai itu? Apa kaitan Saleha dan Murni dengan projek pembinaan jambatan itu? Kemana pula menghilangnya pegawai-pegawai yang telah ditugaskan?


Rasa KU
Apa yang AA rasa? Rasa tak sabar nak habiskan pembacaan untuk mengetahui kesudahan kisah. Hendak tahu bagaimana Edri dan Adam dapat keluar dari sumpahan Saleha. Atau nasib Edri dan Adam sama sahaja dengan pegawai2 lain yang ditugaskan ke situ.

Ketika kisah hampir sampai penghujungnya, kita hampir pasti bagaimana Edri dan Adam dapat keluar dari situ... tetapi kejutan lain pula yang menanti... namun dengan adanya kejutan itu... maka terjawablah apa yang berlaku sebelum ini. Misteri disebalik penangguhan pembinaan jambatan di Kg Durian Lima.

Apa yang dapat AA katakan, DPW ni tidaklah seseram novel ERTI CINTA yang juga dihasilkan oleh penulis yang sama tetapi menggunakan nama pena Camellia. Dalam DPW ini kita tahu bahawa Edri dan Adam terperangkap atau kembali ke masa lalu melalui aktiviti serta sikap aneh penduduk kampung. Tetapi kita tidak dapat mengagak dan tertanya-tanya apa yang menyebabkan itu berlaku hinggalah kita baca hingga kehujungnya. Lain pula dengan EC yang mana kita sering dikejutkan dengan situasi yang menyeramkan.

Dalam DPW, kita juga disajikan dengan adat yang diamalkan sekitar tahun 60an. Adat majlis perkahwinan yang sudah jarang diamalkan pada zaman kini seperti malam berinai curi, malam berinai kecil, malam berinai besar serta gotong-royong membuat balai dari batang tepus.

Keseluruhannya, AA berpuas hati dengan DPW ini. Jalan ceritanya agak lain daripada novel cinta yang biasa. Tiada babak-babak romantik tetapi masih lagi berkisar tentang cinta. MK bijak menyelitkan isu bandar yang dikatakan berhantu (disebabkan oleh pembinaan sebuah jambatan yang tidak dapat disiapkan walaupun perancangan telah dibuat sejak 45 tahun dahulu) dalam menyampaikan erti kesetiaan dan pengkhianatan dalam cinta. Juga erti keberanian yang sebenarnya. 

Berani itu bukan setakat berani melawan tetapi juga berani menerima dan berani bertanggungjawab.


Suka KU 
m/s 22 
“ Bandar behantu? Tidak pernah pula saya dengar ada bandar macam tu di negara kita, Encik Amin. Kalau di negara lain macam Taiwan tu, saya pernah la baca tentang bandar San Zhi. Sebuah bandar futuristik yang telah diabaikan kerana berlaku banyak kematian semasa pembinaannya.”

Imej satellite bandar San Zhi yang terletak di Utara Taiwan
Lagi gambar-gambar bandar San Zhi, Taiwan.
(kredit to abang GOOGLE)


Untuk info yang lebih lagi boleh ke link di bawah ini
http://sometimes-interesting.com/2011/07/11/abandoned-resort-sanzhi-taiwan/
ini pun boleh juga
http://en.wikipedia.org/wiki/Sanzhi_UFO_houses

m/s 208-209 
“isy, kau ni. Bukankah kita tidak boleh bercermin di waktu begini? Nanti tinjau gagak pula aku,” jawab Saleha sambil menjeling. Dia tidak mahu begitu. Dia mahu kelihatan benar-benar cantik di pandangan Edri sama ada dekat atau jauh. Sama ada siang atau malam. Petua yang diturunkan oleh ibunya itu selalu dijadikan pegangan. Jangan bercermin di waktu senja, nanti wajah hilang serinya. Itulah yang disebut tinjau gagak. Dipandang dari jauh nampak cantik, namun apabila dekat... 

m/s 469 
kini dia mengakui kata-kata neneknya dahulu,berani itu bukan setakat berani melawan tetapi juga berani menerima dan berani bertanggungjawab. Kini baru dia faham. Benar-benar faham.

~ NovelLikeAMysteryBox ~
~ afinarif ~




Sinopsis Kulit Buku 
Sebuah projek pembinaan jambatan yang sudah 45 tahun terbengkalai, membawa Edri dan kawan baiknya, Adam, ke sebuah kampung di tepi Sungai Pahang. 

“Encik Edri pernah melihat hantu?” tanya Encik Amin sekali lagi. 

Edri tergamam. Sudah dua kali juga soalan itu ditanyakan kepada dia. Dia semakin keliru. “Apa kena-mengena kerja saya dengan hantu, Encik Amin? Saya bukan Ghostbusters.” Dalam ketawa yang dibuat-buat, dia cuba berseloroh. 

“Jawab soalan saya dulu.” Kali ini suara Encik Amin semakin garau dan dalam walau tidak sampai membentak. 

Dalam perjalanan menuju ke tempat yang dituju, kereta yang dinaiki telah rosak. Edri dan kawan serumahnya, Adam, telah dibantu oleh dua orang gadis kampung yang bernama Saleha dan Murni. Di kampung itu mereka berdua dijaga dan dilayan dengan baik sehinggakan Edri dan Saleha saling jatuh cinta. Namun Hasan, pemuda kampung yang sudah lama mencintai Saleha menjadi penghalang. 

“Kalau saya tak penggal kepala dia, saya bukan Hasanlah, nek!” jerit Hasan sebelum beredar. 

Mampukah Edri menyelesaikan misteri pembinaan jambatan itu? Mampukah dia pulang semula ke kota? Siapakah Saleha yang sebenarnya? Dan Saleha, siapakah yang akan menjadi pilihannya selepas Edri meluahkan rasa?



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...