Review: Kaca Jendela Ainnur ~ Diya Nordin

 
Penulis: Diya Nordin
Penerbit: Jemari Seni
Cetakan: Pertama – Januari 2011
Harga: rm 18
Helaian: 414 m/s

‘ Masa itu adalah makhluk Allah yang tak pernah henti berdetik ‘


Baca KU
KACA JENDELA AINNUR (KJA) membawa kita menelusuri hati seorang anak yang mana kewujudannya tidak pernah dikehendaki kedua ibu bapanya. Hari-hari yang dilalui hanyalah untuk meraih kasih sayang mereka sehingga diri berasa penat dan lelah lalu lari membawa diri. Hati yang rajuk sukar dipujuk, walau kemaafan telah diungkap.

Ainnur Syahirah, kelahirannya dianggap sebagai bala dalam kehidupan Syuhairah, mamanya. Dengan kehadiran Ainnur, Syuhairah dibuang oleh kedua ibubapanya, dia hampir gagal dalam pelajarannya, malah dia juga ditinggalkan suaminya ketika mengandungkan Ainnur. Sementelah Syuhairah bernikah dengan Amir Iskandar ketika dia masih menuntut di luar negara tanpa restu kedua ibubapanya. Pada masa sama dia dan suaminya masih lagi menjalani kehidupan bebas, bergaul dengan mana-mana lelaki dan perempuan yang mereka sukai walaupun mereka telah berkahwin. Disebabkan itu, Syuhairah cuba menidakkan kehadiran hak Ainnur dalam hidupnya. Hak Ainnur sebagai anak diabaikan. Malah Ainnur seolah-olah bagaikan halimunan di matanya.

Sebagai seorang anak yang terlalu dahagakan kasih mamanya, pelbagai usaha dibuat untuk menarik perhatian Syuhairah. Sejak dari kecil, hidup Ainnur hanya dikelilingi dengan buku. Dia mahu sentiasa cemerlang dan membanggakan mamanya. Malah, Ainnur sanggup mengambil jurusan undang-undang dan melupakan minatnya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan demi mama. Supaya sedikit sebanyak mereka mempunyai topik yang sama untuk dibualkan kerana mamanya juga seorang peguam. Namun sangkaannya meleset, sikap mama terhadapnya masih belum berubah. Layanan mama masih lagi dingin.

Ketika Ainnur masih lagi menuntut di UUM, dia dikejutkan dengan kehadiran seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Umi, ibu tirinya. Kehadiran Umi adalah untuk mengkhabarkan bahawa ayah kandungnya yang disangka telah tiada masih lagi hidup dan tinggal dekat dengan kawasan kediamannya di KL. Selama ini dia hanya ada Papa Uncle, bapa tiri yang menjalankan tanggungjawab sebagai bapanya. Kewujudan Amir Iskandar disangka dapat mengisi ruang kosong di hati. Namun dia hampa lagi kerana penerimaan ayah sama dengan mama, tidak pernah mahu menerima kehadiran Ainnur di dunia.

Dugaan datang bertimpa-timpa, sehingga Ainnur letih dan lelah untuk menagih kasih ibubapanya sendiri. Ainnur nekad membawa diri dari kedua-duanya. Dia meninggalkan tanah air sendirian membawa hati yang luka... tanpa jejak, tanpa pamitan dan tanpa ucapan selamat tinggal. Hanya sekeping surat dititip buat mama. Adakah jarak beribu batu yamg memisahkan serta masa yang berlalu mampu mengubati rajuk di hati Ainnur? Mampukah Ainnur memaafkan kedua ibubapanya seikhlas hati lalu menerima mereka kembali dalam hidupnya yang telah diabaikan dulu?


Rasa KU
KJA membawa tema kekeluargaan yang dilihat dari sudut tanggungjawab antara anak dan ibubapa sebagai tunjang utama penceritaan. Tema ini jarang2 menjadi topik utama dalam novel masa kini. Jika ada pun hanyalah menjadi tema sampingan yang mana penulis kini lebih menitik beratkan tema percintaan antara uda dan dara.

Dalam KJA, DN cuba membawa kita kepada persoalan ‘seorang ibu dan bapa boleh menjaga dan mendidik berbelas-belas anak, namun sebagai anak mampukah kita untuk menjaga ibubapa kita'. KJA diceritakan dari sudut pandangan Ainnur Shahirah, seorang anak yang mana kehadirannya tidak pernah diharapkan oleh kedua ibubapanya.

Walaupun Ainnur tidak mendapat kasih dan perhatian ibubapanya sendiri, namun dia bertuah kerana dikelilingi orang yang sangat mengasihinya. Papa, Umi, Tok Mama, Tok Baba dan teman2 yang tidak jemu2 menasihatinya agar dia dapat menerima kembali ibubapanya... agar dia tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai anak walaupun ketika kecilnya dia tidak dipedulikan. Yang paling penting, dia dikurniakan kasih suami yang tiada bertepi, sering menegur salah silapnya dengan lemah lembut dan berhemah. Bayangkan jika Ainnur dibiarkan larut dalam rajuknya... tiada siapa yang peduli... tiada siapa yang menasihatinya... tiada siapa yang menegur... alangkah ruginya...

Penceritaan banyak mengabadikan latar lembah Sintok memandangkan kisah ini ditulis ketikan DN masih lagi mununtut di UUM... bagi penuntut dan bekas penuntut UUM... bila baca KJA agaknya mesti terkenang kembali memori masa belajar dulu2... ye tak?



Suka KU
Dalam KJA banyak terdapat kata2, petikan dan hadis yang berkaitan dengan ujian dan takdir ALLAH... serta mulianya sifat pemaaf... ini adalah sebahagian darinya...


“Apabila kita merasakan ujian itu terlalu berat, mahu berputus asa jangan pernah lupa yang Allah sentiasa ada dengan kita. Seperti dalam surah Yusuf ayat kelapan puluh tujuh... dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kamu yang kafir.
(m/s 218)


Mengeluh. Perlahan dia mengangguk. “Tahu, tapi Ainnur tak boleh. Setiap kali tengok mama, Ainnur teringat macam mana susah payah Ainnur cuba untuk puaskan hati mama, dapatkan perhatian mama.”

Tapi Ainnur Berjaya, kan?”

Mengangguk. “Berjaya setelah Ainnur di sini. Setelah Ainnur reda dengan kehendak mama.”

“Itu namanya ujian Allah. Allah nak tengok sama ada Ainnur bersyukur atau tidak lepas Allah kaburkan permintaan Ainnur. Mungkin Allah nak tengok, sama ada Ainnur akan hargai atau tidak peluang yang Allah berikan pada Ainnur, setelah Ainnur berusaha keras untuk dapatkan apa yang Ainnur nak.”

Dia diam. Tak bersuara.

“Ainnur pun tahu, memaafkan itu sifat mulia yang dianjurkan dalam al-Quran. Bukankah Allah dah berfirman dalam surah an-Nuur ayat dua puluh satu... hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang?”

Dia diam. Menunduk.

“Ainnur, setiap manusia diuji dan belajar daripada kesalahan. Ainnur dan mama masing-masing diuji. Papa, A’sif dan Ain... semua diuji Allah. Apa yang terjadi, semuanya kehendak Allah Ainnur. Berjalan sesuai dengan takdir Allah. Orang beriman mampu memaafkan walau sebenarnya mereka benar dan orang lain salah. Kenapa tak Ainnur cuba maafkan mama dengan ikhlas?”
(m/s 379 – 380)


“empat tahun tu dah cukup lama Ainnur. Sampai bila perlu ikut rasa hati? Jangan biar hati terus dikuasai nafsu. Kita tak tahu apa yang akan berlaku masa ke depan. Kalau ditakdirkan Allah,umur mama Ainnur pendek? Masa tu nanti Ainnur nak nangis meraung di hujung kaki jenazah, dah tak guna Ainnur.”

“Betul mama Ainnur bersalah. Tapi dia dah minta maaf. Allah suka hamba-hamba-Nya yang pemaaf kerana dia sendiri adalah Yang Maha Pengampun. Kalau keampunan Allah itu lebih besar, kenapa kita sebagai hamba-Nya mesti menafikan hak ibu bapa kita untuk terima maaf kita.”

Mata terpejam. Kata-kata Kak Alia masih segar lagi. Setiap butir perkataan yang keluar daripada bibir Kak Alia masih jelas dalam ingatan.

“Yang berhak menghukum, yang berhak menilai itu Allah. Biar Allah yang menghukum dan menilai kesalahan mereka. Ainnur ingat lagi kan kisah seorang umat Nabi Musa alaihissalam yang darjatnya diangkat Allah kerana ketaatannya kepada kedua-dua ibu bapanya. Walaupun ibu bapanya telah diubah rupa bentuknya oleh Allah kepada khinzir? Betapa anak itu memandikan ibu bapanya, membedakkan ibu bapanya dengan alasan biar Allah yang menilai dan menghukum ibu bapanya. Tapi sebagai anak, menjadi tanggungjawabnya untuk berbakti pada kedua-dua ibu bapanya.

Menarik nafas panjang. Kak Alia benar. Mungkin dia yang melebih-lebih. Terlalu mengikut rasa.
(m/s 384 – 385)


~ NovelLikeAMysteryBox ~
~ afinarif ~


Sinopsis Kulit Buku
Seumur hidupnya, dia hanya mahu memenangi hati Syuhairah, mama yang sangat dia rindu walau wujudnya di depan mata. Dari kecil dia sering tertanya-tanya, kenapa dia bagaikan halimunan pada mata mama!

Ainnur Shahirah tidak pernah kenal siapa ayahnya. Sangkanya, apabila bertemu ayah, kurang-kurang dia punya kasih seorang bapa. Tapi dia salah. Ayah seperti mama. Tidak pernah menerimanya sebagai anak.

Dia menjadi daki dalam keluarga. Dia sedar duduk dirinya. Dia akhirnya pasrah, kasih mereka bukan untuknya. Dia harus pergi agar mama dan ayah bahagia dengan keluarga sendiri.

Kata Zhafran, “Ainnur bukan sekadar kejam pada Tok Mama dan Tok Baba. Tapi juga Uncle Luqman. Salah ke mereka hingga turut terhukum?”

Apa yang Zhafran tahu?

Semuanya dia yang tanggung. Rasa pedih, terluka. Semuanya ditelan sendiri. Dia sudah sehabis daya mencuba. Dia pergi pun atas kehendak mereka, jadi apakah dia yang kejam?

DIYA NORDIN memeta watak ainnur Shahirah dengan baik sekali. Kaca Jendela Ainnur membawa anda memahami hati seorang perempuan yang tabah. Benarkah hati perempuan ini hening bak kaca?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...