Carian

Memuatkan ...

Gadisku, Wan Adnin ~ Noor Suraya

Penulis: Noor Suraya 
Penerbit: JS Adiwarna 
Cetakan: Pertama Jun 2012 
ISBN: 978-967-0201-52-8 
Harga: rm 20 
Helaian: 313 m/s 

‘...dalam banyak-banyak cerita cinta, kisah ini pernah ada...’


Baca KU 
GADISKU, WAN ADNIN meriwayatkan perjalanan hidup Wan Adnin satu-satunya cucu perempuan Wan Suhaidah. Kehidupan seharian Wan Adnin, Si Cantik Manis Delima (gelaran yang diberi Ahmad Akhtar) ini sudah seperti kisah-kisah dongeng dulukala. 

Adnin telah dipelihara oleh Wan Suhaidah, Tok Bondanya sejak dia berusia 1 tahun lagi apabila kedua ibu bapanya bercerai. Di bawah penjagaan Tok Bonda, semua tingkah laku, percakapan, sehinggalah siapa kawan Adnin semuanya dikawal rapi. Tok Bonda tidak mahu Adnin larut seperti anak gadis lain. Lagi pula, Tok Bonda ini sangat menjaga kedudukan aristokrat keturunannya. 

Adnin itu sama seperti anak gadis biasa yang tidak dapat lari daripada mempunyai impian dan cita-cita. Namun semuanya seolah dihalang atau disekat Tok Bonda. Tok Bonda mahu Adnin tinggal sahaja dirumah. Apa salahnya jadi tukang tekat, kerja orang elok-elok. Dulu-dulu kerja ni kerja orang istana. Itulah kata Tok Bonda apabila Adnin menyuarakan hasratnya untuk mencari kerja di luar. Tambah Tok Bonda lagi, walaupun duduk di rumah Adnin masih lagi mampu menjana pendapat lumayan dengan hasil upah menekat. 

Walaupun kehidupan Adnin dikongkong oleh Tok Bonda, Adnin tidak pernah melawan apatah lagi membantah arahan Tok Bonda. Ini kerana sejak kecil lagi Adnin telah diajar untuk menghormati orang yang lebih tua. Selain itu, dia juga kenang akan jasa Tok Bonda yang sudi menjaga dan memberi kasih sayang kepadanya setelah ditinggalkan ibu bapanya 

Namun, dalam banyak-banyak perkara, perihal jodohnya sukar untuk Adnin menerima aturan Tok Bonda. Bukan Adnin mahu lupa diri, tetapi rasa hatinya perlu juga diambil kira. Sudahnya Adnin mengunci mulut, ikutkan sahaja kata Tok Bonda yang terlalu bertegas akan jodohnya. Banyak pinangan untuk Adnin yang ditolak Tok Bonda. Paling Adnin tak boleh lupa adalah pinangan daripada Ahmad Akhtar. 

Tok Bonda memang tidak sudi bermenantukan Akhtar, anak pengusaha kantin itu. Pangkal nama Akhtar tidak ada Tengku, Ku, Raja, Megat dan yang seumpamanya... tidak setanding dengan Adnin yang mempunyai Wan dipangkal namanya. Kasihan Akhtar!... tapi kasihan lagi Adnin! Dua-dua memendam rasa. Semuanya kerana Tok Bonda. Mujur ada rakan-rakan yang memahami... Zie, Hani, Lila, Sheri dan Angah Su yang sentiasa memberi semangat dan menceriakan hari-hari Adnin. 

Akhirnya, Tok Bonda telah menjodohkan Adnin dengan Raja Izhar yang dirasakan sedarjat dengannya. Walau sesungguh mana pun Adnin menolak, Tok Bonda tetap tidak peduli. Namun sesuatu telah terjadi pada saat Adnin akan dinikahkan dengan Raja Izhar. Sesuatu yang bakal mengubah persepsi Tok Bonda tentang pangkat dan keturunan. Pemikiran orang Melayu sebelum Perang Dunia Kedua yang dipupuk pada zaman yang salah. 

Apakah yang telah terjadi? 


Rasa KU 
Apa yang dapat AA perkatakan, penggunaan kertas kuning dirasakan pilihan yang tepat bagi menerbitkan rasa klasik/lama ketika membaca novel ini terutama bila baca catatan Wan Yusuf Bin Wan Ahmad yang ditulis pada lewat tahun 1800an. Bau serta warna kertas membuatkan seolah AA membaca catatan asal yang ditulis dalam buku catatan berwarna hitam yang berusia lebih 100 tahun itu. 

Pada masa kini, jarang syarikat penerbitan menggunakan kertas jenis ini sebab harganya yang lebih mahal berbanding kertas putih biasa yang sering digunakan. Secara tidak langsung ianya akan meninkatkan harga buku. Lihat sahajalah novel Gadisku, Wan Adnin ini walaupun ketebalannya hanya 313 muka surat sahaja tetapi harganya mencecah RM 20... bukankah itu lebih mahal berbanding novel lain yang menggunakan kertas warna putih. Apapun, ianya sangatlah berbaloi dengan kualiti yang dihasilkan. Bukan sahaja kualiti buku bahkan intipati kandungan buku itu juga. 

Berdasarkan pengalaman membaca karya NS yang lepas-lepas, GWA ini juga sudah tentulah tidak dapat lari daripada penggunaan ayat serta kata-kata yang indah dan halus... tidak dilupakan juga pantun warisan turun temurun. Kadang-kadang AA rasa seolah membaca buku teks bahasa Melayu... pelbagai kata dapat dipelajari. Bukan itu sahaja, pada masa sama NS juga bijak membetulkan penggunaan kata yang tidak sesuai digunakan yang mungkin sahaja kita tidak mengetahuinya. 

     Adnin meletakkan telefon tanpa ucap salam. 
     Matilah, ‘malaun’ mana pula ni. Nak main-main polis sentri dengan Adnin ni. Kalau Tok Bonda tahu Akhtar sudah berani telefon Adnin sendiri, matilah!. 
     Adnin sayang, cuba pergi semak kamus. Kata ‘malaun’ tu buruk maksudnya dalam bahasa Melayu.    Jangan apabila dengar orang cakap macam tu, Adnin pun nak cakap juga. Ingat pesan Tok Bonda, anak gadis harus halus bahasanya. Kata-kata kesat layak untuk orang yang buruk akhlaknya sahaja. 
    Adnin sayang, budi bahasalah yang mencerminkan peribadi seseorang. 
    Ingat tu! m/s 25 

Oh ya... dalam novel ini juga diselitkan dengan kisah berkaitan dengan Terusan Wan Mat Saman dan Bunga Emas Bunga Perak yang dihantar ke Siam setiap tiga tahun sekali sebagai ufti. Kisah-kisah ini sudah sinonim dengan sejarah Kedah. Seperti kata NS dikulit buku, siapa lagi yang akan bercerita fasal negerinya, kalau tidak anak-anak negeri itu sendiri. 


Suka KU 
Hidup di Malaysia ini, memanglah kita mesti pandai membawa diri. Macam yang ustaz kata: ‘Tidak boleh menyamaratakan semua agama sama’. Sebab dalam Islam, tersalah cakap akan membawa percanggahan aqidah. Itulah, biar jelas dan terang betul-betul fasal pendirian Adnin pada agama mereka. Jadi, jangan pula kawan-kawan Adnin yang bukan Islam rasa disakiti, atau salah faham – sekiranya, kalau ada masa-masanya Adnin tidak boleh ikut mereka kerana benda itu bertentangan dengan agama Islam. m/s 72 

Cinta itu rupanya seperti angin dingin yang berhembus; sejuk dan menyenangkan. Kita hanya sedar cinta itu pergi setelah rasa panas bertandang.   m/s 175 

Tidak dilupakan juga pesanan2 Tok Bonda: 
- Orang perempuan, bukannya perempuan lagi kalau tidak mahu duduk bersimpuh. Bersimpuh ini, lambang santun anak gadis yang pekerti. 
- Orang perempuan kena jadi perempuan, bukan terloncat-loncat hendak memanjat macam tu. 
- Orang perempuan jangan duk main selut banyak-banyak nanti badan gelap dan berbau lumpur. m/s 32


~ NovelLikeAMysteryBox ~
~ afinarif ~



Sinopsis Kulit Buku 

Cinta itu kurniaan Allah 
jatuh dalam hati-hati hamba-Nya 

Wan Adnin satu-satunya cucu perempuan Wan Suhaidah. Neneknya itu wanita aristokrat yang hidup dalam zaman yang salah. Dia mahu tentukan pasangan hidup Adnin. Dia mahu Adnin mendapat suami yang sedarjat. Satu per satu pinangan orang Wan Suhaidah tolak sehinggalah hadirnya Ahmad Akhtar... 

“Tapi kalau Tok Bonda kau tu panjang umur sampai seratus tahun, macam mana? Cuba kira berapa lama kau kena ‘kelola’ dia di sini. Kira umur kau sudah berapa waktu tu?” 
“Haniiii!” 
“59!!!” Cepat sahaja Zie mengira. Mentang-mentanglah emaknya itu ada kedai runcit kampung. 
Adnin ambil bantal dan memukul mesra Hani, kemudian Zie. 
Jahat! 
“Adnin! Kau ingat Akhtar nak kahwin dengan kau yang sudah nenek-nenek waktu tu! 59, Adnin, 59! Ingat tu,” sambung Hani. 
Sementara itu Zie pula membuat gema mengulang usikan Hani: ‘59, Adnin, 59! Ingat tu’. 
Sheri dan Zila sudah ketawa. Tidak tahan. 
“Yalah, kalau dah betul Akhtar tu cinta kat kau separuh mati pun, padan patutlah... takkan sampai tua kerepot pun dia masih setia nak tunggu!” tambah Zie menambah benzin. 
Sampainya hati mereka kata macam tu dekat Tok Bonda. Kawan-kawannya itu tak pernah berhenti ‘membasuh otak’nya supaya ‘menderhaka’. 

Jadi apa yang Adnin pilih? Ikut rasa Tok Bondanya, atau ikut kata hati! Tapi kata peribahasa lama pula, ikut rasa... binasa, ikut hati... mati!




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...