Carian

Memuatkan ...

Review: Datang Pada Waktunya ~ Maria Kajiwa


Penulis: Maria Kajiwa
Penerbit: Fajar Pakeer
Cetakan: 1 - 2012
ISBN: 978-967-365-121-4
Harga: rm20
Helaian: 476 m/s

‘Tiada yang lebih indah daripada apa yang ada antara kita...’



Baca KU

DATANG PADA WAKTUNYA, sebuah kisah sumpahan yang bukan sahaja menguraikan apa itu erti kesetiaan, pengkhianatan malah juga erti keberanian yang sebenar.

Kisah bermula apabila Edri telah ditugaskan untuk membuat rundingan dengan penduduk Kg Durian Lima berkaitan pembinaan jambatan yang akan menghubung 2 buah kampung yang dipisahkan oleh Sungai Pahang. Projek pembinaan jambatan ini telah tertangguh selama 45 tahun lalu yang mana perancangannya telah dibuat sejak dari tahun 1960an lagi. Ramai pegawai telah dihantar ke sana namun semuanya didapati hilang tanpa meninggalkan jejak. Yang kembali hanyalah fail biru yang mengandungi dokumen projek pembinaan jambatan yang telah dirancang. 

Pada mulanya Edri berat hati untuk menerima tugas itu, namun dia membulatkan tekad apabila mengenangkan jawatannya dalam syarikat menjadi taruhan. Bagi melaksanakan tugas itu, Edri telah mengajak Adam, rakan serumahnya bagi menemaninya ke sana. Kebetulan datuk Adam berasal dari kampung sekitar dan dia tahu selok belok jalan untuk ke sana. Pelbagai kejadian aneh yang ditempuhi Edri dan Adam sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kg Durian Lima. 

Selepas memasuki simpang ke Kg Durian Lima, kereta yang dipandu Adam mengalami kerosakan dan ditinggalkan di tepi jalan. Mereka mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja. Di situ mereka berkenalan dengan dua orang gadis kampung, Saleha dan Murni yang menunjukkan jalan kepada mereka untuk ke Kampung Durian Lima.

Apakah misteri disebalik projek pembinaan jambatan yang tebengkalai itu? Apa kaitan Saleha dan Murni dengan projek pembinaan jambatan itu? Kemana pula menghilangnya pegawai-pegawai yang telah ditugaskan?


Rasa KU
Apa yang AA rasa? Rasa tak sabar nak habiskan pembacaan untuk mengetahui kesudahan kisah. Hendak tahu bagaimana Edri dan Adam dapat keluar dari sumpahan Saleha. Atau nasib Edri dan Adam sama sahaja dengan pegawai2 lain yang ditugaskan ke situ.

Ketika kisah hampir sampai penghujungnya, kita hampir pasti bagaimana Edri dan Adam dapat keluar dari situ... tetapi kejutan lain pula yang menanti... namun dengan adanya kejutan itu... maka terjawablah apa yang berlaku sebelum ini. Misteri disebalik penangguhan pembinaan jambatan di Kg Durian Lima.

Apa yang dapat AA katakan, DPW ni tidaklah seseram novel ERTI CINTA yang juga dihasilkan oleh penulis yang sama tetapi menggunakan nama pena Camellia. Dalam DPW ini kita tahu bahawa Edri dan Adam terperangkap atau kembali ke masa lalu melalui aktiviti serta sikap aneh penduduk kampung. Tetapi kita tidak dapat mengagak dan tertanya-tanya apa yang menyebabkan itu berlaku hinggalah kita baca hingga kehujungnya. Lain pula dengan EC yang mana kita sering dikejutkan dengan situasi yang menyeramkan.

Dalam DPW, kita juga disajikan dengan adat yang diamalkan sekitar tahun 60an. Adat majlis perkahwinan yang sudah jarang diamalkan pada zaman kini seperti malam berinai curi, malam berinai kecil, malam berinai besar serta gotong-royong membuat balai dari batang tepus.

Keseluruhannya, AA berpuas hati dengan DPW ini. Jalan ceritanya agak lain daripada novel cinta yang biasa. Tiada babak-babak romantik tetapi masih lagi berkisar tentang cinta. MK bijak menyelitkan isu bandar yang dikatakan berhantu (disebabkan oleh pembinaan sebuah jambatan yang tidak dapat disiapkan walaupun perancangan telah dibuat sejak 45 tahun dahulu) dalam menyampaikan erti kesetiaan dan pengkhianatan dalam cinta. Juga erti keberanian yang sebenarnya. 

Berani itu bukan setakat berani melawan tetapi juga berani menerima dan berani bertanggungjawab.


Suka KU 
m/s 22 
“ Bandar behantu? Tidak pernah pula saya dengar ada bandar macam tu di negara kita, Encik Amin. Kalau di negara lain macam Taiwan tu, saya pernah la baca tentang bandar San Zhi. Sebuah bandar futuristik yang telah diabaikan kerana berlaku banyak kematian semasa pembinaannya.”

Imej satellite bandar San Zhi yang terletak di Utara Taiwan
Lagi gambar-gambar bandar San Zhi, Taiwan.
(kredit to abang GOOGLE)


Untuk info yang lebih lagi boleh ke link di bawah ini
http://sometimes-interesting.com/2011/07/11/abandoned-resort-sanzhi-taiwan/
ini pun boleh juga
http://en.wikipedia.org/wiki/Sanzhi_UFO_houses

m/s 208-209 
“isy, kau ni. Bukankah kita tidak boleh bercermin di waktu begini? Nanti tinjau gagak pula aku,” jawab Saleha sambil menjeling. Dia tidak mahu begitu. Dia mahu kelihatan benar-benar cantik di pandangan Edri sama ada dekat atau jauh. Sama ada siang atau malam. Petua yang diturunkan oleh ibunya itu selalu dijadikan pegangan. Jangan bercermin di waktu senja, nanti wajah hilang serinya. Itulah yang disebut tinjau gagak. Dipandang dari jauh nampak cantik, namun apabila dekat... 

m/s 469 
kini dia mengakui kata-kata neneknya dahulu,berani itu bukan setakat berani melawan tetapi juga berani menerima dan berani bertanggungjawab. Kini baru dia faham. Benar-benar faham.

~ NovelLikeAMysteryBox ~
~ afinarif ~




Sinopsis Kulit Buku 
Sebuah projek pembinaan jambatan yang sudah 45 tahun terbengkalai, membawa Edri dan kawan baiknya, Adam, ke sebuah kampung di tepi Sungai Pahang. 

“Encik Edri pernah melihat hantu?” tanya Encik Amin sekali lagi. 

Edri tergamam. Sudah dua kali juga soalan itu ditanyakan kepada dia. Dia semakin keliru. “Apa kena-mengena kerja saya dengan hantu, Encik Amin? Saya bukan Ghostbusters.” Dalam ketawa yang dibuat-buat, dia cuba berseloroh. 

“Jawab soalan saya dulu.” Kali ini suara Encik Amin semakin garau dan dalam walau tidak sampai membentak. 

Dalam perjalanan menuju ke tempat yang dituju, kereta yang dinaiki telah rosak. Edri dan kawan serumahnya, Adam, telah dibantu oleh dua orang gadis kampung yang bernama Saleha dan Murni. Di kampung itu mereka berdua dijaga dan dilayan dengan baik sehinggakan Edri dan Saleha saling jatuh cinta. Namun Hasan, pemuda kampung yang sudah lama mencintai Saleha menjadi penghalang. 

“Kalau saya tak penggal kepala dia, saya bukan Hasanlah, nek!” jerit Hasan sebelum beredar. 

Mampukah Edri menyelesaikan misteri pembinaan jambatan itu? Mampukah dia pulang semula ke kota? Siapakah Saleha yang sebenarnya? Dan Saleha, siapakah yang akan menjadi pilihannya selepas Edri meluahkan rasa?



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...